Tuesday, 12 August 2014

Manisnya Bahasa : Episod 2

▶️ Kekeliruan Kata dan Makna

Entri Manisnya Bahasa kami kini kembali lagi dengan tajuk yang baru dan lebih menarik. Selamat membaca!

Setiap kata dalam bahasa Melayu mempunyai maknanya yang tersendiri. Dengan berbeza satu huruf saja, keseluruhan makna boleh berubah dan sama-sekali berbeza dengan perkataan yang asal. Oleh sebab itu lah, guru sentiasa mengingatkan kita agar berhati-hati ketika menulis terutamanya saat mencurahkan idea ke dalam karangan kerana ianya boleh membuatkan karangan kita terpesong daripada tujuan asal.

Berikut kami kongsikan makna serta contoh-contoh ayat bagi beberapa perkataan yang sering kali menimbulkan kekeliruan kepada kita;

  • Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan
bahasa rasmi - bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi kerajaan dan pentadbiran negara

bahasa kebangsaan - bahasa yang utama bagi sesebuah negara yang berdaulat

 * Bagi negara Malaysia, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu.  

  • Hemat dan Hemah
hemat - 1. tidak boros; 2. cermat;  3. pemerhatian dan pengamatan
        
 * Orang yang hemat pasti akan membeli barang keperluannya dengan berhati-hati.
      
 * Pada hemat saya, mesyuarat hari ini amat perlu ditangguhkan dahulu.

hemah - budi pekerti

 * Setiap manusia di muka bumi ini seharusnya menjaga hemah diri masing-masing, baru lah dunia ini aman dan damai.

  • Rasmi dan Resmi
rasmi - bermaksud disahkan oleh kerajaan atau yang berkuasa, yang diisytiharkan (disahkan, ditentukan) oleh kerajaan atau jabatan dll.

 * Pakaian rasmi untuk ke sekolah bagi para guru pada hari Khamis ialah baju batik.

resmi - sifat semula jadi atau sifat khas (benda, perangai, atau tabiat), juga disebut sebagai resam.

 * Kanak-kanak dari kecil lagi telah memliki resmi atau kelakuan mereka yang tersendiri.

  • Wacana dan Wahana
wacana - 1. keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan, percakapan; 2. perbincangan atau pertukaran idea secara lisan; 3. kesatuan fikiran yang utuh, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.

 * "Mereka mengadakan wacana ilmu di dewan tadi," kata Yasmin kepada Lina.

 * Tidakkah dikau merindui dunia kritikan sastera yang dibajai oleh pengetahuan tentang teori dan wacana sastera yang mendalam, dan pembacaan karya sastera yang banyak?

wahana - saluran atau perantaraan (yang memungkinkan sesuatu dilakukan, disampaikan, atau dicapai)

 * Bahasa baku lah yang sepatutnya dijadikan wahana dalam setiap urusan bagi mengembangkan lagi budaya bangsa.

 * Media massa merupakan wahana penting dalam kehidupan kini bagi menyampaikan maklumat dan berita.

  • Ramai dan Banyak
ramai - menunjukkan bilangan (banyak) yang khusus untuk manusia.

banyak - boleh digunakan untuk menyatakan bilangan untuk manusia atau bukan manusia (binatang, tumbuh-tumbuhan dll)

 * Masih ramai/banyak rupanya orang yang tidak tahu lagi menggunakan perkhidmatan tersebut.

 * "Banyak betul kerja rumah yang harus aku selesaikan hari ini," getus Nadia.

  • Anjakan Paradigma
anjakan - hasil menganjak, peralihan

paradigma - merujuk kepada makna lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pada sesuatu masa yang di pengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kesedaran yang ada.

anjakan paradigma - peralihan paradigma (pemikiran/pengetahuan/kemahiran)daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru (biasanya kepada yang lebih baik).

 * Kita sepatutnya melakukan anjakan paradigma untuk meningkatkan lagi kualiti diri, tidak kisah lah dari segi akademik mahupun sahsiah.

Itu saja untuk kali ini. Nantikan episod yang seterusnya!

Semoga apa yang kami kongsikan kepada anda di sini dapat anda praktikkan di luar sana, inshaAllah. 

Rujukan : Kamus Dewan (edisi keempat)

Yasmin Rosly.



Monday, 11 August 2014

Nutrisi : Garam Mineral

Pernah kah anda, anda dan anda terbaca tentang masalah-masalah yang timbul apabila anda kurang mengambil garam mineral? Secara harfiahnya, garam mineral merupakan  bahan bukan organik dalam bentuk ion. Kesemua garam mineral yang bakal ditunjukkan  mempunyai cas-cas yang tersendiri. Garam mineral diperlukan dalam kuantiti yang kecil (elemen surih) demi pemeliharaan kesihatan dan pertumbuhan.


Garam mineral merupakan kumpulan makanan ketiga terbesar yang perlu diambil oleh tubuh kita setelah vitamin dan karbohidrat. Sekian.

Sopi Mazlan.

Sunday, 10 August 2014

Nutrisi : Vitamin

Vitamin merupakan kumpulan makanan kedua terbesar yang perlu diambil bagi manusia. Oleh itu, kami di SIG ingin berkongsi pada anda tentang kepentingan mengambil sumber vitamin bagi memenuhi keperluan dan meneruskan kelangsungan hidup anda. Pada entri ini juga, anda dapat mengetahui kesan kekurangan pengambilan vitamin dalam tubuh anda.


Sedikit info mengenai vitamin, jika anda ingin memasak makanan yang mempunyai kandungan vitamin B dan C, anda perlu memasakkannya dengan minyak. Jika anda memasak dengan air, sebahagian besar vitamin B dan C akan melarut di dalamnya. Hal ini kerana  vitamin B dan C adalah vitamin larut air. Sekian.

Rujukan : Revision Guide Pearson Longman : Essential Biology (Form 4)

Sopi Mazlan.

Thursday, 7 August 2014

Manisnya Bahasa : Episod 1

▶️ Kesalahan Ejaan


Bahasa Melayu ini sebenarnya indah. Kalau baik penggunaannya, boleh jadi bahasa itu sendiri beralun dan sedap didengar. Tetapi, kita lah yang merosakkannya dengan menggunakan perkataan yang salah setiap kali dalam perbualan mahupun penulisan. Mungkin di antara kita memang sudah terbiasa menggunakan perkataan yang salah tersebut oleh kerana kejahilan diri, tetapi bagi mereka yang mengetahui perkataan yang betul (mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka) seharusnya tampil ke hadapan bagi membetulkan kesalahan tersebut dan bukan saja mendiamkan diri. 

Maka kami di SIG ingin mengambil langkah pertama dengan berkongsi kepada pembaca semua beberapa perkataan dimana masyarakat kini merasakannya betul tetapi di sisi Kamus Dewan, perkataan tersebut sama sekali salah.


[petunjuk: '➡️' = sepatutnya]

  • Analisa        ➡️ Analisis
  • Baucer         ➡️ Baucar
  • Buffet         ➡️ Bufet
  • Bumiputra      ➡️ Bumiputera
  • Catit          ➡️ Catat
  • Cendiakawan    ➡️ Cendekiawan
  • Definasi       ➡️ Definisi
  • Efisyen        ➡️ Efisien
  • Ehsan          ➡️ Ihsan
  • Emel           ➡️ e-mel
  • Fax            ➡️ Faks
  • Gembeleng      ➡️ Gembleng
  • Hajjah         ➡️ Hajah
  • Ibu mu         ➡️ Ibumu
  • Ibubapa        ➡️ Ibu bapa
  • Intipati       ➡️ Inti pati
  • Isipadu        ➡️ Isi padu
  • Istirehat      ➡️ Istirahat
  • Janakuasa      ➡️ Jana kuasa
  • Johor Bharu    ➡️ Johor Bahru
  • Juwita         ➡️ Juita
  • Kapitalisma    ➡️ Kapitalisme
  • Karenah        ➡️ Kerenah
  • Keredhaan      ➡️ Keredaan
  • Kerinting      ➡️ Keriting
  • Ko-kurikulum   ➡️ Kokurikulum
  • Kolesterol     ➡️ Kolestrol
  • Komersil       ➡️ Komersial
  • Kota Bahru     ➡️ Kota Bharu
  • Lagenda        ➡️ Legenda
  • Lebuhraya      ➡️ Lebuh raya
  • Leukimia       ➡️ Leukemia
  • Liberalisma    ➡️ Liberalisme
  • Losyen         ➡️ Losen
  • Maksima        ➡️ Maksimum
  • Mee            ➡️ Mi
  • Mengenengahkan ➡️ Mengetengahkan
  • Mengenepikan   ➡️ Mengetepikan
  • Mentera        ➡️ Mantera
  • Munshi         ➡️ Munsyi
  • Nasionalisma   ➡️ Nasionalisme
  • Optima         ➡️ Optimum
  • Paspot         ➡️ Pasport
  • Pengembala     ➡️ Penggembala
  • Pensil         ➡️ Pensel
  • Saidina        ➡️ Sayidina
  • Sekaligus      ➡️ Sekali gus
  • Silaturrahim   ➡️ Silaturahim
  • Stokin         ➡️ Stoking
  • Temubual       ➡️ Temu bual
  • Temuduga       ➡️ Temu duga
  • Tengahari      ➡️ Tengah hari
  • Usahasama      ➡️ Usaha sama

Itu saja yang boleh kami kongsikan kepada anda setakat ini. Nantikan entri kami yang seterusnya!

Setelah meneliti perkataan-perkataan di atas, apa pendapat anda mengenainya? Adakah terlalu banyak di antara perkataan tersebut menjadi kebiasaan anda dalam perbualan dan penulisan? Beri maklum balas kepada kami dengan meninggalkan komen anda di artikel ini.

Akhir kata daripada kami, tidak semestinya perkara yang sedikit saja orang lakukan itu bermakna perkara itu salah dan tidak semestinya juga perkara yang ramai orang lakukan itu bermakna perkara itu betul. Lakukan perubahan. Anda boleh!




Yasmin Rosly.

Azazil.

Ramai di antara kita menganggap bahawa Azazil merupakan mahluk ciptaan Allah swt seperti malaikat. Namun pada realitinya, tanggapan itu ternyata salah kerana Azazil itu termasuk dalam golongan iblis.

Azazil sangat kuat beribadah kepada Allah swt. Dia telah menginfakkan dirinya terhadap Allah swt selama 1000 tahun lamanya, lalu Allah mengangkatnya ke langit pertama. Dia meneruskan ibadahnya, kemudian dia diangkat lagi ke langit kedua. Begitu lah seterusnya sehingga dia dilantik menjadi penghulu para malaikat. Apa sahaja perintah Allah swt pada para malaikat adalah perintahnya juga.

Ibadah Azazil ini terlalu banyak sehinggakan terdapat riwayat yang mengatakan bahawa dia beribadah kepada Allah swt selama 80 ribu tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak pernah dijadikannya tempat sujud ke hadrat Allah swt. Persoalannya di sini, mampu kah kita yang lahir sedia Islam ini beribadah sepertinya? Cuba kita renungkan.

Azazil asalnya seorang iblis yang diangkat darjat kerana kesungguhannya dalam beribadah. Selain itu, dia juga digelar sebagai Sayiduk Malaikat (Bendaharawan Syurga). Dia juga mempunyai keistimewaan yang dikurniakan Allah swt iaitu doa nya yang mustajab. Semua penduduk di setiap lapisan langit memanggil Azazil dengan gelaran yang berbeza. 7 lapisan langit, 7 gelaran lah untuknya.

Gelarannya adalah seperti yang berikut;

Langit pertama - ahli ibadah yang mengabdikan diri kepada Allah
Langit kedua - ahli ruku' kepada Allah
Langit ketiga - ahli sujud
Langit keempat - Khaasyi, kerana selalu merendah diri kepada Allah
Langit Kelima - Qaanit, kerana ketaatannya pada Allah
Langit Keenam - Mujtahid
Langit Ketujuh - Zaahid, kerana sederhana dalam menggunakan kehidupan

Itulah antara gelaran Azazil di setiap langit oleh mahluk-Nya.

Selama 120 ribu tahun Azazil menyandang semua gelaran dan kemuliaan yang baik. Sampai di satu tahap dimana waktu itu para malaikat mengadakan musyawarah (perjumpaan), Allah swt mahu mewujudkan khalifah di bumi.

"Sesungguhnya Aku hendak menciptakan seorang khalifah (pemimpin) di muka bumi," {2 : 30}

Siapa khalifah yang Allah swt maksudkan itu? Khalifah itu ialah kita, sahabat. Kita!

Serentak dengan itu para malaikat menjawab "Mengapa perlu ada manusia di muka bumi ini? Yang hanya akan membuat kerosakan dan kemusnahan, menumpahkan darah sesama sendiri, padahal kami malaikat sentiasa bertasbih memujiMu,"

"Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui," {2 : 30}

Lalu Allah menciptakan Nabi Adam a.s dan memerintahkan malaikatuntuk sujud kepadanya. Para malaikat pun bersujud mengikut perintah-Nya. Tetapi Azazil, ketua para malaikat itu tidak mahu melakukan perbuatan tersebut. Dia melanggar perintah Allah swt kerana dia merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. Dalam jiwanya terselit kesombongan yang tinggi.

Para malaikat yang selebihnya tetap akur pada Allah swt dan tidak mengikut langkah Azazil walaupun Azazil merupakan ketua mereka. Lalu dengan angkuhnya, Azazil bertanya kepada Allah, "Patutkah aku sujud pada makhlukMu yang hanya dijadikan daripada tanah?"

Nabi Adam a.s itu begitu hina pada pandangan Azazil. Disebabkan hasad dengkinya kerana Allah swt melantik Nabi Adam a.s sebagai khalifah walaupun dia hanya diperbuat daripada tanah lah, dia enggan bersujud pada Nabi Adam a.s. Dia merasakan dirinya lebih hebat daripada manusia pertama tersebut kerana dia diciptakan daripada api. Dia sanggup derhaka kepada Allah swt dan menjadi lupa daratan. Maka Allah swt pun menghalaunya dari syurga. Apabila dia dihalau, namanya terus ditukar menjadi iblis dan dia berjanji akan menyesatkan manusia dan keturunannya. Sejak itu lah Azazil diusir dari syurga dan darjatnya tidak diangkat lagi. Dia derhaka dan dia lupa bahawa dia juga merupakan hamba dan mahluk Allah swt yang sepatutnya menurut segala perintah-Nya.

Iblis pun keluar dari syurga dan dia meminta satu permintaan terakhir daripada Allah swt. Mahukah anda tahu apa permintaan iblis tersebut? Dia telah meminta kepada Allah swt supaya dipanjangkan umurnya selama mana manusia wujud di muka bumi ini. Maka Allah swt pun perkenankan doa nya.

Jadi rakan-rakan, jangan lah kita mengikut sikap Azazil yang angkuh dengan kehebatan dirinya sendiri sehinggakan sanggup derhaka kepada Allah swt. Kita sebagai manusia hendaklah ingat bahawa setiap apa yang dikurniakan kepada kita di dunia ini, hanyalah pinjaman belaka. Bila-bila masa saja Allah swt boleh menariknya kembali. Maka, jangan lah takbur. Wujudkan lah rasa rendah diri itu kerana Allah swt dan sentiasa lah bersyukur setiap kali mendapat nikmat. Barulah segala nikmat yang diterima itu menjadi berkat dan berpanjangan.

"Buatlah segala sesuatu lillahita'ala,"

Iqmal Daniel.

Pengurusan Masa Belajar Berkualiti.

Dalam sehari kita ada 24 jam tetapi ramai pelajar yang tidak dapat memanfaatkan masa itu dengan sebaiknya. Bayangkan, kalau masa itu kita sia-sia kan dan tidak diuruskan dengan kemas? Pasti kita akan tergolong dalam kelompok yang rugi. Masa umpama emas. Hidup kita juga terikat dengan sesuatu tempoh dan kita perlu memanfaatkan masa yang diberi sebaik mungkin dengan amal ibadah dan sebagainya. Kami di SIG ingin berkongsi tentang cara pengurusan masa salah seorang individu yang telah kami wawancara. 



Untuk pengetahuan anda, individu yang kami wawancara ini bernama Amzar Arif bin Abdul Jalil, seorang bekas pelajar sains tulen sekolah kami, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud Iskandar. Beliau memperoleh keputusan SPM yang cemerlang dalam kesemua subjek yang diambilnya. Kini beliau menuntut di Negeri Sembilan, membuat persediaan dalam bidang ke-doktoran sebelum diterbangkan ke India.

Bagi mereka yang bukan Islam dan ingin mencontohi masa pengurusan ini terutamanya ketika qiamullail dan waktu solat itu, anda boleh menggantikannya dengan aktiviti bermanfaat yang lain seperti membaca buku, bersukan dan sebagainya. Anda juga boleh mengambil waktu itu untuk melakukan hobi anda seperti melukis, bermain alat muzik dan bermacam lagi yang tidak keterlaluan kerana kami di SIG berpendapat hobi itu mampu menghilangkan tekanan yang biasanya dihadapi oleh pelajar. Sekian.

"Jika kamu tidak merancang untuk kejayaan, kamu sebenarnya merancang kegagalan."

Lina Najihah.


Tuesday, 5 August 2014

Metodologi Membina Keyakinan Diri.

Kebanyakan dari kita terutamanya orang muda pernah mengalami masalah "tahap keyakinan diri yang rendah". Semua orang pernah mengalaminya termasuk kami di SIG. Jika ada seseorang tampil memberi kritikan terhadap personaliti kita atau cara kita bersosial dan membuat hipotesis yang negatif tentang diri kita, pasti kita merasa murung. Sejujurnya, kritikan itu cukup bagus. Tetapi, apabila ia telah mengganggu tahap keyakinan diri kita sehinggakan kita takut untuk membuka mulut dan berinteraksi dengan orang lain (dalam erti kata lain : menjalani kehidupan normal), itu sama sekali tidak boleh diterima. Jadi, kami ingin berkongsi kepada anda, cara-cara untuk membina keyakinan dalam diri kita agar kita lebih berani untuk tampil dan melontarkan suara pendapat di hadapan khalayak ramai.


1. Berfikir untuk diri sendiri

Orang yang yakin akan merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul. Kebanyakan daripada mereka cenderung mengemukakan pandangan asal mereka berbanding dengan keputusan mereka yang telah ditambah dengan unsur luar seperti hasutan, pujuk rayu dan sebagainya.


2. Senaraikan kebolehan dan kelebihan dalam diri

Setiap makhluk Allah swt adalah unik dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Termasuklah kita. Oleh itu, bagi mengurangkan krisis kekurangan diri ini, anda perlu menyenaraikan semua kebolehan yang ada dalam diri anda. Bukan tujuan untuk bermegah, tetapi sebagai satu platfom bahawasanya kita mampu berdiri di atas bakat sendiri. Kita tolak ke tepi kata-kata orang sekeliling kita yang pesimistik itu. Ketengahkan bakat, berani mencuba, ambil risiko dan anda mampu berjaya. In-sha-Allah.


3. Cari kecenderungan atau minat

Manusia mempunyai latar belakang kehidupan yang berbeza. Begitu juga minat kita semua. Sesetengah dari kita mungkin gemar menyimpan haiwan eksotik, mengumpul setem, mengumpul koleksi kereta mainan, membaca dan sebagainya. Adalah amat digalakkan anda teruskan dengan progres minat anda, maksudnya anda gembira ketika melakukan perkara yang anda minati. Hiraukan sebentar kata orang yang boleh mengganggu gugat keyakinan dan kebahagiaan hidup anda.


4. Pilih idola

Memilih orang terdekat anda atau yang terkenal (tidak semestinya artis / selebriti). Fikirkan tentang kualiti seperti aspek moral, spiritual, fizikal, emosi, intelektual dan sosial yang ada pada idola anda dan cuma untuk mencontohi mereka. Adalah lebih baik jika anda mampu menghasilkan kualiti yang tersendiri.


5. Fokus pada sesuatu

Fokus atau tekun adalah satu unsur / resepi kejayaan yang paling utama. Jika anda ingin mencapai tahap keyakinan yang tinggi, anda perlu fokus dalam setiap pekerjaan anda.  Jangan cuba untuk fokus secara negatif iaitu terlalu memikirkan persepsi orang ramai sehingga anda sendiri takut untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup anda. Sekiranya anda mempunyai rangkaian media sosial seperti Twitter, Instagram dan lain-lain, cuba 'follow' orang yang berada di luar lingkungan tempat tinggal kita. Yakinkan diri anda untuk mencari teman baharu.


6. Terima pujian

Penting untuk anda menerima sedikit pujian setelah anda melakukan sesuatu yang baru dalam hidup anda. Contohnya, sekiranya kawan anda pertama kali memasuki pertandingan debat, dan mereka melakukannya dengan bagus, anda sewajarnya memuji mereka sebagai tanda sokongan moral dan memberi keyakinan kepada mereka untuk terus berjuang. Tetapi perlu diingat, cara kita menerima dan membalas pujian amat penting. Sekiranya anda dipuji, ucapkan "terima kasih" atau yang sama waktu dengannya dan berikan sedikit senyuman. Jangan riak / takbur apabila anda dipuji.


7. Jaga kesihatan, jaga diri

Mustahak bagi kita untuk terus menjaga kesihatan badan kerana kesihatan juga antara elemen-elemen yang mampu meruntuhkan keyakinan dalam diri kita. Anda sedang mengalami masalah obesiti dan selalu diperli oleh rakan sekelas anda, anda perlu menerima sindiran mereka sebagai satu motivasi untuk terus berusaha memguruskan badan. Dengan itu, lahirlah satu usaha murni anda untuk yakin dan percaya pada diri bahawasanya anda boleh mengubah aturan hidup anda.


8. Menyambut individualiti

Isi ini menekankan anda untuk berkongsi atas apa yang anda ada, kejayaan anda, jatuh bangun anda dalam menyelesaikan dilema dan sebagainya. Jika anda mendapat sesuatu yang istimewa, jangan cuba untuk sembunyikannya daripada orang ramai. Lontar dan kongsikan perasaan gembira anda itu bersama rakan-rakan yang lain (walaupun ada di antara mereka melabel kita poyo hahaha). Cuba untuk yakin bercerita dan berinteraksi dalam masyarakat.


9. Ambil tindakan

Amat mengejutkan apabila suatu tindakan kecil yang berani mampu mengubah keseluruhan keputusan dalam hidup anda. Tindakan itu tidak memerlukan sesuatu yang gah (atau dalam bahasa urbannya : sembang saja lebih) tetapi tindakan itu sedikit dan cukup kuat untuk menonjolkan tahap keyakinan diri anda. Sebagai contoh, ketika anda dan rakan anda ingin memilih untuk makan di restoran A atau B. Kamu berdua menghadapi konflik kerana tidak sependapat. Jadi, di sini sahaja sudah boleh menguji tahap keyakinan diri anda untuk menegaskan keputusan anda. Begitu juga dengan pengawas sekolah. Menegur kesalahan pelajar merupakan suatu tindakan kecil tetapi memerlukan keyakinan yang amat tinggi.


10. Interaksi mata

Ketika kita berhubung dan bercakap dengan seseorang, kita perlu membuat 'hubungan mata' bagi mengukuhkan tahap keyakinan dalam diri kita. Situasi ini banyak berlaku ketika ditemuduga, diwawancara, bercakap dengan orang sekeliling kita dan banyak lagi. Setiap interaksi kita dengan mamusia lain semestinya memerlukan 'hubungan mata' bagi menggambarkan kita selesa dan yakin untuk melontarkan pandangan kita.

Semua orang di dunia mempunyai masalah. Tetapi, cara kita mengurus masalah yang membezakan tahap keperibadian kita.


Sopi Mazlan.


Salam Perkenalan.

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera kepada semua para pembaca yang kelaparan dan kehausan ilmu di luar sana. Kami di SIG mengucapkan jutaan tahniah kepada anda yang telah berjaya menemui laman kecil kami yang tidak seberapa ini. Semoga pertemuan kita pada detik ini berpanjangan sampai bila-bila (inshaAllah), kerana di sini kami akan menyajikan pelbagai cabang ilmu yang mungkin serba-sedikit boleh membantu anda dalam akademik, seperti ilmu Sains, Bahasa, Agama dan pelbagai lagi. Kami juga menyertakan beberapa tips belajar yang menarik untuk anda guna pakai sekiranya anda mengalami sebarang kebuntuan dalam menentukan cara belajar yang efektif. Apa tunggu lagi? Klik sahaja butang 'Follow' itu untuk bertemu janji dengan kami.

Laman ini dikendalikan oleh kami berempat iaitu, Muhammad Iqmal Daniel bin Abdul Halem, Muhammad Saufi bin Mazlan, Lina Najihah binti Shamsul Kamar dan Nur 'Afina Yasmin Rosly yang merupakan pelajar Tingkatan 4 Sains 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud Iskandar, Ledang, Johor. Meskipun kami baru sahaja mencecah usia 16 tahun, ianya tetap tidak menghalang kami untuk mengeluarkan peluh bakti untuk masyarakat walaupun setitik kerana kami tahu usia hanya lah sekadar nombor. Lagipun, kami tidak mahu berjaya seorang. Kami mahu ramai-ramai berjaya, baru lah generasi muda kini lebih mantap dan sesuai menjadi pemimpin pada masa kelak. Sudah tentu anda semua tidak mahu dipimpin oleh seorang pemimpin yang pencapaian akademiknya teruk, bukan? Fikir-fikirkan lah ya, kawan. Anda mampu mengubahnya!

Jangan malu, jangan segan dan tidak perlu lah berfikir panjang kerana pintu kami memang senantiasa terbuka untuk anda semua masuk dan mengembara ke laman kami. Kongsikan juga URL laman ini kepada rakan-rakan anda di luar sana yang juga mungkin memerlukan khidmat kami. Beribu penghargaan kami salurkan sekiranya anda berbuat demikian kerana dengan cara itu lah dapat membantu kami meraih lebih ramai lagi pengikut supaya manfaat laman ini dapat dikongsi bersama. Ingat, "muafakat itu membawa berkat".

Setakat ini sahaja lah tinta kami kali ini. Sekiranya anda ingin mengenali kami dengan lebih dekat, anda boleh layari laman Twitter berikut;

Iqmal Daniel - Klik sini

Saufi - Klik sini

Lina Najihah - Klik sini

'Afina Yasmin - Klik sini

"Ingatlah, tiada kejayaan datang sebelum kegagalan,"

Yasmin Rosly.