Ramai di antara kita menganggap bahawa Azazil merupakan mahluk ciptaan Allah swt seperti malaikat. Namun pada realitinya, tanggapan itu ternyata salah kerana Azazil itu termasuk dalam golongan iblis.
Azazil sangat kuat beribadah kepada Allah swt. Dia telah menginfakkan dirinya terhadap Allah swt selama 1000 tahun lamanya, lalu Allah mengangkatnya ke langit pertama. Dia meneruskan ibadahnya, kemudian dia diangkat lagi ke langit kedua. Begitu lah seterusnya sehingga dia dilantik menjadi penghulu para malaikat. Apa sahaja perintah Allah swt pada para malaikat adalah perintahnya juga.
Ibadah Azazil ini terlalu banyak sehinggakan terdapat riwayat yang mengatakan bahawa dia beribadah kepada Allah swt selama 80 ribu tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak pernah dijadikannya tempat sujud ke hadrat Allah swt. Persoalannya di sini, mampu kah kita yang lahir sedia Islam ini beribadah sepertinya? Cuba kita renungkan.
Azazil asalnya seorang iblis yang diangkat darjat kerana kesungguhannya dalam beribadah. Selain itu, dia juga digelar sebagai Sayiduk Malaikat (Bendaharawan Syurga). Dia juga mempunyai keistimewaan yang dikurniakan Allah swt iaitu doa nya yang mustajab. Semua penduduk di setiap lapisan langit memanggil Azazil dengan gelaran yang berbeza. 7 lapisan langit, 7 gelaran lah untuknya.
Gelarannya adalah seperti yang berikut;
Langit pertama - ahli ibadah yang mengabdikan diri kepada Allah
Langit kedua - ahli ruku' kepada Allah
Langit ketiga - ahli sujud
Langit keempat - Khaasyi, kerana selalu merendah diri kepada Allah
Langit Kelima - Qaanit, kerana ketaatannya pada Allah
Langit Keenam - Mujtahid
Langit Ketujuh - Zaahid, kerana sederhana dalam menggunakan kehidupan
Itulah antara gelaran Azazil di setiap langit oleh mahluk-Nya.
Selama 120 ribu tahun Azazil menyandang semua gelaran dan kemuliaan yang baik. Sampai di satu tahap dimana waktu itu para malaikat mengadakan musyawarah (perjumpaan), Allah swt mahu mewujudkan khalifah di bumi.
"Sesungguhnya Aku hendak menciptakan seorang khalifah (pemimpin) di muka bumi," {2 : 30}
Siapa khalifah yang Allah swt maksudkan itu? Khalifah itu ialah kita, sahabat. Kita!
Serentak dengan itu para malaikat menjawab "Mengapa perlu ada manusia di muka bumi ini? Yang hanya akan membuat kerosakan dan kemusnahan, menumpahkan darah sesama sendiri, padahal kami malaikat sentiasa bertasbih memujiMu,"
"Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui," {2 : 30}
Lalu Allah menciptakan Nabi Adam a.s dan memerintahkan malaikatuntuk sujud kepadanya. Para malaikat pun bersujud mengikut perintah-Nya. Tetapi Azazil, ketua para malaikat itu tidak mahu melakukan perbuatan tersebut. Dia melanggar perintah Allah swt kerana dia merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. Dalam jiwanya terselit kesombongan yang tinggi.
Para malaikat yang selebihnya tetap akur pada Allah swt dan tidak mengikut langkah Azazil walaupun Azazil merupakan ketua mereka. Lalu dengan angkuhnya, Azazil bertanya kepada Allah, "Patutkah aku sujud pada makhlukMu yang hanya dijadikan daripada tanah?"
Nabi Adam a.s itu begitu hina pada pandangan Azazil. Disebabkan hasad dengkinya kerana Allah swt melantik Nabi Adam a.s sebagai khalifah walaupun dia hanya diperbuat daripada tanah lah, dia enggan bersujud pada Nabi Adam a.s. Dia merasakan dirinya lebih hebat daripada manusia pertama tersebut kerana dia diciptakan daripada api. Dia sanggup derhaka kepada Allah swt dan menjadi lupa daratan. Maka Allah swt pun menghalaunya dari syurga. Apabila dia dihalau, namanya terus ditukar menjadi iblis dan dia berjanji akan menyesatkan manusia dan keturunannya. Sejak itu lah Azazil diusir dari syurga dan darjatnya tidak diangkat lagi. Dia derhaka dan dia lupa bahawa dia juga merupakan hamba dan mahluk Allah swt yang sepatutnya menurut segala perintah-Nya.
Iblis pun keluar dari syurga dan dia meminta satu permintaan terakhir daripada Allah swt. Mahukah anda tahu apa permintaan iblis tersebut? Dia telah meminta kepada Allah swt supaya dipanjangkan umurnya selama mana manusia wujud di muka bumi ini. Maka Allah swt pun perkenankan doa nya.
Jadi rakan-rakan, jangan lah kita mengikut sikap Azazil yang angkuh dengan kehebatan dirinya sendiri sehinggakan sanggup derhaka kepada Allah swt. Kita sebagai manusia hendaklah ingat bahawa setiap apa yang dikurniakan kepada kita di dunia ini, hanyalah pinjaman belaka. Bila-bila masa saja Allah swt boleh menariknya kembali. Maka, jangan lah takbur. Wujudkan lah rasa rendah diri itu kerana Allah swt dan sentiasa lah bersyukur setiap kali mendapat nikmat. Barulah segala nikmat yang diterima itu menjadi berkat dan berpanjangan.
"Buatlah segala sesuatu lillahita'ala,"
Iqmal Daniel.
No comments:
Post a Comment