Tuesday, 5 August 2014

Metodologi Membina Keyakinan Diri.

Kebanyakan dari kita terutamanya orang muda pernah mengalami masalah "tahap keyakinan diri yang rendah". Semua orang pernah mengalaminya termasuk kami di SIG. Jika ada seseorang tampil memberi kritikan terhadap personaliti kita atau cara kita bersosial dan membuat hipotesis yang negatif tentang diri kita, pasti kita merasa murung. Sejujurnya, kritikan itu cukup bagus. Tetapi, apabila ia telah mengganggu tahap keyakinan diri kita sehinggakan kita takut untuk membuka mulut dan berinteraksi dengan orang lain (dalam erti kata lain : menjalani kehidupan normal), itu sama sekali tidak boleh diterima. Jadi, kami ingin berkongsi kepada anda, cara-cara untuk membina keyakinan dalam diri kita agar kita lebih berani untuk tampil dan melontarkan suara pendapat di hadapan khalayak ramai.


1. Berfikir untuk diri sendiri

Orang yang yakin akan merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul. Kebanyakan daripada mereka cenderung mengemukakan pandangan asal mereka berbanding dengan keputusan mereka yang telah ditambah dengan unsur luar seperti hasutan, pujuk rayu dan sebagainya.


2. Senaraikan kebolehan dan kelebihan dalam diri

Setiap makhluk Allah swt adalah unik dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Termasuklah kita. Oleh itu, bagi mengurangkan krisis kekurangan diri ini, anda perlu menyenaraikan semua kebolehan yang ada dalam diri anda. Bukan tujuan untuk bermegah, tetapi sebagai satu platfom bahawasanya kita mampu berdiri di atas bakat sendiri. Kita tolak ke tepi kata-kata orang sekeliling kita yang pesimistik itu. Ketengahkan bakat, berani mencuba, ambil risiko dan anda mampu berjaya. In-sha-Allah.


3. Cari kecenderungan atau minat

Manusia mempunyai latar belakang kehidupan yang berbeza. Begitu juga minat kita semua. Sesetengah dari kita mungkin gemar menyimpan haiwan eksotik, mengumpul setem, mengumpul koleksi kereta mainan, membaca dan sebagainya. Adalah amat digalakkan anda teruskan dengan progres minat anda, maksudnya anda gembira ketika melakukan perkara yang anda minati. Hiraukan sebentar kata orang yang boleh mengganggu gugat keyakinan dan kebahagiaan hidup anda.


4. Pilih idola

Memilih orang terdekat anda atau yang terkenal (tidak semestinya artis / selebriti). Fikirkan tentang kualiti seperti aspek moral, spiritual, fizikal, emosi, intelektual dan sosial yang ada pada idola anda dan cuma untuk mencontohi mereka. Adalah lebih baik jika anda mampu menghasilkan kualiti yang tersendiri.


5. Fokus pada sesuatu

Fokus atau tekun adalah satu unsur / resepi kejayaan yang paling utama. Jika anda ingin mencapai tahap keyakinan yang tinggi, anda perlu fokus dalam setiap pekerjaan anda.  Jangan cuba untuk fokus secara negatif iaitu terlalu memikirkan persepsi orang ramai sehingga anda sendiri takut untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup anda. Sekiranya anda mempunyai rangkaian media sosial seperti Twitter, Instagram dan lain-lain, cuba 'follow' orang yang berada di luar lingkungan tempat tinggal kita. Yakinkan diri anda untuk mencari teman baharu.


6. Terima pujian

Penting untuk anda menerima sedikit pujian setelah anda melakukan sesuatu yang baru dalam hidup anda. Contohnya, sekiranya kawan anda pertama kali memasuki pertandingan debat, dan mereka melakukannya dengan bagus, anda sewajarnya memuji mereka sebagai tanda sokongan moral dan memberi keyakinan kepada mereka untuk terus berjuang. Tetapi perlu diingat, cara kita menerima dan membalas pujian amat penting. Sekiranya anda dipuji, ucapkan "terima kasih" atau yang sama waktu dengannya dan berikan sedikit senyuman. Jangan riak / takbur apabila anda dipuji.


7. Jaga kesihatan, jaga diri

Mustahak bagi kita untuk terus menjaga kesihatan badan kerana kesihatan juga antara elemen-elemen yang mampu meruntuhkan keyakinan dalam diri kita. Anda sedang mengalami masalah obesiti dan selalu diperli oleh rakan sekelas anda, anda perlu menerima sindiran mereka sebagai satu motivasi untuk terus berusaha memguruskan badan. Dengan itu, lahirlah satu usaha murni anda untuk yakin dan percaya pada diri bahawasanya anda boleh mengubah aturan hidup anda.


8. Menyambut individualiti

Isi ini menekankan anda untuk berkongsi atas apa yang anda ada, kejayaan anda, jatuh bangun anda dalam menyelesaikan dilema dan sebagainya. Jika anda mendapat sesuatu yang istimewa, jangan cuba untuk sembunyikannya daripada orang ramai. Lontar dan kongsikan perasaan gembira anda itu bersama rakan-rakan yang lain (walaupun ada di antara mereka melabel kita poyo hahaha). Cuba untuk yakin bercerita dan berinteraksi dalam masyarakat.


9. Ambil tindakan

Amat mengejutkan apabila suatu tindakan kecil yang berani mampu mengubah keseluruhan keputusan dalam hidup anda. Tindakan itu tidak memerlukan sesuatu yang gah (atau dalam bahasa urbannya : sembang saja lebih) tetapi tindakan itu sedikit dan cukup kuat untuk menonjolkan tahap keyakinan diri anda. Sebagai contoh, ketika anda dan rakan anda ingin memilih untuk makan di restoran A atau B. Kamu berdua menghadapi konflik kerana tidak sependapat. Jadi, di sini sahaja sudah boleh menguji tahap keyakinan diri anda untuk menegaskan keputusan anda. Begitu juga dengan pengawas sekolah. Menegur kesalahan pelajar merupakan suatu tindakan kecil tetapi memerlukan keyakinan yang amat tinggi.


10. Interaksi mata

Ketika kita berhubung dan bercakap dengan seseorang, kita perlu membuat 'hubungan mata' bagi mengukuhkan tahap keyakinan dalam diri kita. Situasi ini banyak berlaku ketika ditemuduga, diwawancara, bercakap dengan orang sekeliling kita dan banyak lagi. Setiap interaksi kita dengan mamusia lain semestinya memerlukan 'hubungan mata' bagi menggambarkan kita selesa dan yakin untuk melontarkan pandangan kita.

Semua orang di dunia mempunyai masalah. Tetapi, cara kita mengurus masalah yang membezakan tahap keperibadian kita.


Sopi Mazlan.


4 comments:

Unknown said...

Sgt membntu. Terima kasih

SIG said...

sama-sama, sila lah lawat lagi ya?

Unknown said...

Penggunaan bahasa yang menarik.

SIG said...

terima kasih! inshaAllah kami akan memperbaiki lagi gaya penulisan kami agar ia jadi lebih menarik dan lebih mantap.